Sunday, December 19, 2010

Seseorang Yang Sangat Aku Kagumi


Aku pernah, dan tidak malu menceritakan kepada student ku, yang aku berasal dari keluarga yang miskin. Aku tidak pernah malu menceritakan kepada student aku, yang ayah ku terpaksa berhutang dengan orang-orang kaya demi menyekolahkan kami adik beradik. Aku juga tidak pernah malu menceritakan kepada student aku, yang aku ada 2 orang kakak, 2 orang abang dan seorang adik, dan kakak ku yang sulung tidak pernah bersekolah kerana kemiskinan keluarga ku.

Aku menceritakan, sejak usia ku tujuh tahun, aku bersama dua orang abang ku. Sebaik selesai solat Subuh, kami akan menjinjing dua bakul seorang di kiri dan kanan tangan. Sebuah bakul penuh berisi bungkusan nasi lemak. Sebuah bakul lagi berisi kuih-muih. Kami akan menjaja ke seluruh kampong. Setelah habis terjual, kami pulang ke rumah dan bersedia untuk ke sekolah di waktu petang.
Di rumah ku, ada dua jenis beras. Satu beras patah/beras hancur yang murah harganya. Satu lagi beras biasa yang bermutu. Beras patah/hancur adalah untuk makanan kami sekeluarga. Beras biasa adalah untuk dijadikan nasi lemak buat jualan ke seluruh kampong. Kadang-kala, bila teringin nak rasa kemanisan dan kelemakan beras biasa, kami adik beradik berpakat menyembunyikan sebungkus nasi lemak. Sebungkus nasi lemak itulah kami makan bertiga beradik. Begitulah hidup kami sewaktu kecil.

Sewaktu bersekolah, sejak darjah satu hinggalah ke tingkatan tiga, aku tak pernah beruniform lengkap ke sekolah. Sebab keluarga ku di luar kemampuan untuk menyediakan uniform tersebut. Aku tak pernah malu bercerita kepada student ku, aku berjalan kaki sejauh 3 batu pergi, 3 batu balik semata-mata untuk menimba ilmu ke sekolah. Kaki ku hanya berlapikkan selipar jepun. Kadang-kadang terpaksa berkaki ayam kerana selipar yang ku pakai putus dipertengahan jalan.

Aku juga tidak pernah malu untuk menceritakan kepada student ku, pernah sekali sewaktu berjalan kaki balik dari sekolah pada tahun 1982, aku melalui tempat pembuangan sampah. Aku terjumpa sepasang kasut yang dibuang. Kasut tersebut lalu ku kutip. Aku dapati kasut tersebut koyak dibahagian depannya. Dengan rasa gembira, kasut koyak tersebut ku bawa pulang ke rumah. Selesai solat Maghrib, aku ke belakang rumah mencari saki-baki tali jala milik ayah ku. Dengan tali jala itulah aku menjahit bahagian depan kasut yang koyak. Keesokannya, aku ke sekolah memakai kasut “baru”. Di sekolah dengan bangga, aku menayangkan kasut yang ku kutip dari tempat pembuangan sampah kepada rakan-rakan sekolah ku. Tiga atau empat hari sekali, jahitan tali jala tersebut putus, dan aku akan menjahitnya semula. Sehinggalah aku menjumpai sebatang raket badminton yang patah di tempat pembuangan yang sama. Tali raket badminton itulah yang aku gunakan untuk menjahit kasut tersebut menggantikan tali jala. Dan hasilnya, jahitan kasut tersebut bertahan lebih lama.

Selepas peperiksaan SRP, aku mendapat tawaran masuk ke tingkatan empat di sebuah sekolah berasrama penuh. Barulah aku mempunyai uniform sekolah yang lengkap. Itu pun ayah ku terpaksa berhutang dengan orang untuk menyediakan kelengkapan sekolah ku.
Selepas SPM, aku menjalani kursus Matrikulasi di sebuah IPTA di utara semenanjung. Tempat yang paling jauh dari rumah yang aku pernah pergi. Kursus matrikulasi berjalan selama dua tahun. Aku masih ingat. Ibu dan bapa ku, menghantar aku ke MRSM Kulim menaiki bas Transnasional. Bertolak jam 8.00pm dan sampai ke Butterworth di waktu subuh keesokan harinya. Dari stesen bas Butterworth, kami menaiki bas henti-henti ke Kulim. Sepanjang proses pendaftaran, ayah dan mak aku tak henti-henti berpesan :
“Jaga diri baik-baik kat tempat orang.”
“Jangan gaduh-gaduh bertumbuk.”
“Belajar rajin-rajin, jangan ponteng kelas.”
Dan pesanan yang paling menyentuh hati ……….
“Kita orang miskin. Abah tak pasti boleh hantar duit untuk engkau kalau nak balik waktu cuti. Kalau abah tak dapat hantar duit, kau duduk saja asrama ya. Ulangkaji pelajaran.”
Tak dapat aku bayangkan, tatkala aku menghantar ibu dan ayah ku keluar dari pintu pagar MRSM Kulim selepas pendaftaran ku sempurna. Mereka berjalan kaki dari pintu pagar MRSM Kulim ke stesen bas yang jaraknya lebh kurang sebatu. Sayu sangat. Aku masih ingat kata-kata ayah ku sebelum dia meninggalkan aku di MRSM Kulim :
“Abah nak engkau belajar bersungguh-sungguh. Carilah ilmu banyak-banyak. Walau kita miskin harta, tapi jangan sampai kita miskin ilmu. Orang yang berilmu tak akan jadi anak tiri kepada masyarakat.“
******************************

Nantikan sambungan cerita Sir Suhami .. :)


No comments:

Post a Comment

Duit Shoping -_^

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...